SHAH ALAM – Episod kekejaman manusia membuang bayi yang tidak berdosa masih berleluasa.
Terbaru, mayat bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan dan cukup sifat ditemui ditanam berhampiran landasan kereta api berhampiran Stesen Komuter Padang Jawa, dekat sini, kelmarin.
Mayat itu juga seakan-akan ‘dikafankan’ dengan kain lampin dan ditanam sedalam hampir 0.5 meter.
'Kubur' itu ditemui seorang pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang membuat pemeriksaan di kawasan berhampiran dan terlihat longgokan tanah berbentuk kubur, kira-kira satu meter dari landasan kereta api.
Ketua Ikatan Relawan Rakyat (Rela) Mukim Bukit Raja, Kapten Rela Roslan Yahya, 57, berkata, pekerja KTMB itu kemudian memaklumkan hal itu kepadanya sebelum beliau bersama pekerja itu dan seorang sukarelawan polis menggali 'kubur' itu kira-kira jam 9.15 malam.
“Semasa kami menggali, tiba-tiba darah terpancut keluar dari longgokan tanah.
“Kami terus memaklumkan penemuan itu kepada polis,” katanya kepada kepada Sinar Harian ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.
Sementara itu, sukarelawan polis, Nor Sharijan Mohd YusoF, 34, berkata, dia memeriksa bungkusan kain lampin itu dan terkejut apabila melihat mayat bayi masih bertali pusat.
“Saya lihat sendiri tangan, kaki dan mata bayi.
"Ternyata bayi itu baru dilahirkan dan bukannya digugurkan, malah pada kain lampin itu ada najis,” katanya.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Nor Azam Jamaludin ketika dihubungi mengesahkan telah menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 10.00 malam, kelmarin.
"Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk bedah siasat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 328 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian," katanya.
Blogger sendiri telah sempat pergi ke tempat kejadian padan malam tersebut sejurus menerima maklumat dari Sdr Jebat (Rela) kira kira jam 09.40 malam. Blogger melihat sendiri bagaimana kesan darah yang masih segar terpercik dari kuburan kecil tersebut. Ternyata bayi yang malang itu telah cukup sifatnya. Alangkah malangnya nasib bayi tersebut namun sipembuat pula terlepas begitu saja. Harap Harap pihak berkuasa dapat memberi perhatian baik kes ini bagi menjaga Nama Padang Jawa.
Semua manusia yang waras faham bahawa zina, membunuh jiwa adalah merupakan satu dosa besar, tapi bagaimana ini masih boleh terjadi...ternyata manusia sudah hilang pegangan agama......
Petikan sinar harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan