PERJUANGAN SERTA MOTTO KAMI
KE ARAH KAMPUNG BERKEBAJIKAN
.... KAMI DI JKKK PADANG JAWA PETALING AKAN TERUS BERUSAHA MEMPERBAIKI TARAF KAMPUNG INI SAMADA DARI SEGI KEHIDUPAN, EKONOMI, PEMBANGUNAN SOSIAL, KEBAJIKAN, JUGA PEMBANGUNAN INSANIAH SERTA AGAMA INSYA ALLAH...MARILAH SAMA SAMA MEMBANTU JIHAD KAMI..

.

MH370

MH370

PROFAIL KAMPUNG

MOTTO KAMI "KEARAH KAMPUNG BERKEBAJIKAN'

Kedudukan Didalam Peta

Kampung Padang Jawa Petaling terletak di Negeri Selangor dan berada didalam Daerah Petaling Mukim Bukit Raja. Kampung ini adalah sebuah kampung tradisi yang terletak dalam kawasan himpitan diantara dua bandar besar yang mana di sebelah barat kampung ini adalah Bandar Diraja Klang manakala disebelah utara dan timur dikelilingi oleh Bandaraya Shah Alam. Di sebelah selatan ialah Sungai Klang. Terletak berhampiran dengan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, dalam Parlimen P108 Shah Alam dan DUN N41kawasan Batu 3.

Kawasan Parlimen.

Parlimen: P108 Shah Alam (75,334)

Penggal 12: YB. IR. Hj Khalid bin Abd Samad (PAS)

Jumlah Undi: 33,356

Majoriti: 9,314

Kawasan DUN.

DUN: N41 Batu3. (36,896)

Penggal 12 YB. Puan Rodziah Ismail (KEADILAN)

Jumlah Undi: 15,582

Majoriti: 3,563

Penduduk
Pada masa dahulu kawasan ini hanya didiami oleh kebanyakannya orang Jawa dan Melayu. Sedikit kaum India dan China yang berkerja sebagai penternak lembu dan penanam sayur. Kini oleh kerana kedudukannya kampung ini adalah stratigik dimana keseluruhan kawasan ini dikelilingi bandar dan kawasan industri, maka pada masa ini penduduknya adalah terdiri dari berbagai bangsa dan agama yang datang berhijrah dari seluruh Malaysia. Ada juga yang datang dari negara jiran seperti Indonesia, Bangladesh, dan beberapa Negara lain dalam dunia ini. Jumlah penduduk dianggarkan lebih kurang 15,000 orang.

Pekerjaan
Majoriti pekerjaan utama penduduk terletak didalam sektor perkilangan seperti kilang pembuatan Kereta Nasional, Elektronik, Bahan Makanan dan lain-lain. Disamping itu penduduk setempat telah mengambil peluang keemasan ini dengan membina rumah sewa untuk tujuan penyewaan. Ini sebagai hasil pendapatan penduduk kampung dimana ada pemilik yang berpendapatan hingga ribuan ringgit sebulan. Disebabkan kampung ini terletak dalam kawasan tengah bandar, maka ramai juga dikalangan penduduk yang menjadi ahli perniagaan dan juga bekerja dalam sektor perkhidmatan seperti Pejabat Kerajaan, Bank dan lain-lain.

Sejarah Kampung. (Versi Pertama)

Sebagaimana dilain-lain tempat yang mempunyai sejarah silam, kampung ini juga tidak ketinggalan mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Sebenarnya kampung ini telah wujud lebih daripada 130 tahun yang lalu. Lebih kurang sama umurnya jika dibandingkan dengan wujudnya Bandar Diraja Klang. Pada masa lalu kampung ini terbahagi kepada beberapa bahagian yang mana nama-nama tersebut telah dilupai oleh generasi masa kini. Diatas usaha Ketua Kampung untuk mencari maklumat, maka sedikit sebanyak telah dapat mencungkil sejarah silam permulaan kampung.

Kampung ini terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu, terdiri daripada Padang Jawa, Padang Lalang, Sungai Rasau, Kg. Berangan, Teluk Benta dan Batu Gajah. Mula diteroka oleh seorang Jawa yang berasal dari Jawa Tengah Indonesia bernama Wak Kairan. Allahyarham adalah seorang pendekar yang terkenal dengan ilmu persilatan, gagah berani dan kekuatannya amat sukar ditandingi. Dari sumber yang diperolehi dari cerita-cerita Allhyarham Hj. Mahmud bekas imam masjid, Wak Kairan inilah yang mula-mula meneroka kampung ini dengan menebas, membersihkan segala hutan-hutan dan semak samun. Jika dalam kamus jawa, PADANG bererti membersih atau menerangkan kawasan dan telah dilakukan oleh seorang JAWA. Maka oleh kerana itu, kampung ini telah diberi nama Padang Jawa. Setelah era kemerdekaan, kawasan-kawasan ini dijaga dibawah satu jagaan ketua kampung dengan menggunakan nama Kampung Padang Jawa. Bermula tahun 80an, apabila berlaku persempadanan semula daerah, kampung ini terbahagi kepada 2 bahagian. Sebahagian dikenali sebagai Kampung Padang Jawa Daerah Klang yang diketuai oleh seorang Ketua Kampung dan yang sebahagian lagi dikenali sebagai Kg. Padang Jawa Daerah Petaling dan diketuai oleh seorang Ketua Kampung juga. Sempadannya ialah Jalan Besar Padang Jawa Klang.

Allahyarham Wak Kairan.

Seorang Pendekar yang mempunyai ilmu persilatan yang sangat tinggi serta gagah berani. Mempunyai tenaga yang amat luar biasa dan pernah bertarung dengan musuhnya dikawasan stesen keretapi selama tujuh hari tujuh malam tanpa berhenti rehat. Dari sumber yang diperolehi, beliau mampu menarik dan memberhentikan keretapi yang sedang bergerak. Wallahua’lam. Apabila meninggal dunia, Allahyarham telah dikebumikan di tanah perkuburan dimana sekarang dikenali sebagai seksyen 16.. Selepas itu kuburnya telah dipindahkan ke kawasan tanah perkuburan sekarang yang terletak berhampiran Lebuhraya Persekutuan.

Padang Lalang.

Berasal dari satu kawasan dimana kawasan tersebut dipenuhi dengan rumput lalang

dan terletak disebelah timur atau dalam bahasa jawa disebut KULON. Sekarang ini kawasan tersebut dikenali sebagai Padang Jawa Kulon.

Teluk Benta.
Berasal dari satu kawasan yang dipenuhi dengan pokok benta. Kawasan ini terletak disebelah selatan atau dalam bahasa jawa dipanggil kidol. Sekarang ini kawasan tersebut dikenali sebagai Jalan Tegas yang mana, nama jalan tersebut diberi sempena ketegasan seorang penduduk bernama En. Suradi bin Shaher. Beliau terkenal dengan ketegasannya didalam membuat keputusan setiap perkara.

Kg. Berangan.

Berasal dari satu kawasan yang terletak ditengah kampung dimana dikawasan tersebut terdapat sepohon pokok berangan. Pada masa itu hanya terdapat sepohon sahaja pokok tersebut. Kawasan tersebut juga dikenali sebagai dusun buah-buahan seperti manggis, durian, langsat dan sebagainya. Terdapat juga pokok getah yang mana menjadi hasil pendapatan penduduk. Apabila sebuah kilang baja didirikan berhampiran kampung ini, dengan tiba-tiba segala pokok buahan tidak lagi berbuah kerana kawasan ini telah tercemar dengan asap toksit. Ini menyebabkan sebilangan penduduk telah kehilangan mata pencarian. Pelbagai bantahan telah dibuat namum segala-galanya tidak berhasil. Hanya dalam masa yang terdekat ini, tindakan telah diambil. Kini kawasan tersebut telah kembali pulih seperti biasa apabila sebahagian aktiviti kilang tersebut telah dipindahkan. Sekarang ini kawasan tersebut dikenali sebagai Jalan Berangan.

Batu Gajah.

Ini bukanlah kawasan penempatan tetapi hanyalah seketul batu. Berasal dari satu kawasan yang mana mengikut cerita dongeng, seekor gajah cuba berenang untuk melintas Sungai Klang. Tetapi di tengah-tengah telah dihalang oleh sejenis mahluk yang dipanggil Sang Kelembai. Sumpahannya itu menyebabkan gajah tersebut menjadi batu dan terletak betul-betul di tengah sungai. Pada suatu masa dahulu, apabila air sungai surut, batu tersebut akan kelihatan dan menjadi kawasan pusaran air. Wallahua’lam.

Sungai Rasau.
Kawasan ini diambil dari nama sebuah anak sungai yang dikenali sebagai Sungai Rasa. Hulu sungai ini bermula dari sebuah kawasan yang dikenali sebagai Air Kuning. Panjang sungai ini dianggarkan sejauh lima batu. Bagaimana pun nama tersebut maseh kekal sehingga sekarang. Sebahagian daripada kawasan ini pula dikenali sebagai Rimba Jaya. Kawasan tersebut pada asalnya adalah kawasan paya dan semak samun. Sedikit kawasan dijadikan kawasan pertanian tanaman sayuran oleh peneroka china. Kemudian telah diteroka oleh sebilangan penduduk yang datang dari luar Kg. Padang Jawa untuk dijadikan kawasan kediaman dan dinamakan Rimba Jaya. Kini kawasan penerokaan tersebut telah lenyap dan telah dibangunkan sebagai kawasan perumahan. Disinilah terletaknya bangunan Pangsapuri Rimba.

Stesen Kereta Api.

Dizaman era empat puluhan terdapat 2 stesen kereta api dalam kampung ini kerana ditengah-tengah kawasan kampung ini menjadi laluan keretapi dari Kuala Lumpur ke Klang, Pelabuhan Klang dan Kuala Selangor. Satu stesen terletak dimana sekarang ini dijadikan kawasan rumah kediaman kakitangan KTM. Satu lagi stesen, terletak di penghujung kampung berhampiran Jalan Conought Bridge.

Stesen Keretapi Padang Jawa.Stesen perhentian untuk penumpang dan juga sebagai tempat memuat dan memunggah barang bagi keretapi yang dikenali Keretapi Barang. Pada waktu itu stesen tersebut amat penting sebagai perhubungan dari bandar ke bandar. Waktu itu juga hanya keretapi sahajalah sebagai kenderaan pengangkutan yang paling mudah. Dikendalikan oleh seorang Stesen Master yang tinggal di kuaters berhampiran.

Stesen Keretapi berhampiran Jambatan Baily Connought Bridge.
Stesen ini sebagai tempat persimpangan kereta untuk menghala ke Kuala Selangor dan ke-Klang. Pada masa ini jalan keretapi yang menghala ke-Kuala Selangor telah ditutup memandangkan tidak ekonomi dan tidak diperlukan lagi. Juga dijadikan sebagai tempat perhentian penumpang. Kini kawasan tersebut terbiar dan sebahagian kawasan telah diteroka yang mana sekarang ini dikenali sebagai Kawasan Seri Kenangan.

Jalan Mat Raji
Panjang Jalan ini adalah sekitar 800 - 900 meter. Sekiranya anda menuruni Jambatan Padang Jawa, anda perlu membelok ke kiri untuk ke jalan ini. Nama jalan ini diambil sempena dari seorang tokoh besar Padang Jawa. Haji Mohamad Raji terkenal dengan sikap beliau yang tegas dalam menangani sesuatu isu. Sewaktu Zaman Jepun rumah beliau adalah antara tempat utama yang dijadikan tempat perlindungan penduduk penduduk kampung. Kehadiraan tentera Jepun pada ketika itu telah dapat ditangani dengan cara muslihat dan hanya barangan barangan sahaja yang dirampas oleh tentera Jepun seperti basikal, kasut dan selipar sahaja. Allayarham Hj Mohamad Raji meninggal sekitar tahun 70an.

Jalan Bilal Wondo,

Kedudukan Jalan ini ialah terletak berdekatan stesen keretapi Padang Jawa. Sekiranya anda menurun dari Jambatan Padang Jawa, anda perlu membuat pusingan U untuk ke Jalan Bilal. Panjang jalan ini adalah sekitar 800 meter. Nama jalan ini diambil dari seorang lagi tokoh dan antara pengasas Kampung Padang Jawa Petaling. Beliau ialah Allayarham Tn Haji Wondo. Sewaktu hayatnya, beliau adalah Bilal pertama bagi Masjid Padang Jawa yang sekarang ini dikenali sebagai Masjid As Solihin. Di waktu zaman perkhidmatan beliau sekitar tahun 70an, beliau amat dikenali oleh penduduk kampung sebagai seorang Bilal yang mempunyai suara yang nyaring. Ketika itu kentung atau beduk akan dipukul terlebih dahulu sebelum azan dilaungkan. Allahyarham meninggal dunia sekitar 1999.

Jalan Tegas.
Kedudukan Jalan Tegas ialah di bahagian belakang Jalan Mat Raji. Panjang jalan ini adalah sekitar 400 meter. Sekiranya anda menuruni jambatan Padang Jawa dari Simpang empat (PUSPAKOM) anda perlu jalan terus sekitar 200 meter sebelum membelok ke sebelah kiri. Nama Jalan Tegas ini di ambil sempena ketegasan salah seorang penduduk asal Kampung Padang Jawa Petaling. Beliau adalah Sdr Suradi yang dikenali dengan ketegasannya menangani sesuatu perkara, namun perkara itu mestilah perkara yang benar samada dari keadaan apatah lagi dari segi agama Islam. Beliau yang masih tinggal di Jalan tersebut merupakan seorang yang amat dihormati oleh semua orang.

Lorong Lorong di Padang Jawa Petaling

Terdapat sebanyak 39 lorong lorong kechil sekitar Padang Jawa Petaling. Lorong lorong tersebut adalah :

1. Lorong Tok Janggut Lot 1414
2. Lorong Lot 1415
3. Lorong Tebu Lot 1416
4. Lorong Johan lot 1636
5. Lorong Hj Mohd Yassin Lot 1637
6. Lorong Hj Kamil Lot 1412
7. Lorong Hantu Lot 634B
8. Lorong Haji Borhan Lot 634D,
9. Lorong Jasa Lot 2479
10. Lorong Wak Selamat Lot 2480
11. Lorong Hj Osman Lot 1409
12. Lorong Hj Bajuri Lot 1410
13. Lorong Kaum India Lot 1543
14. Lorong Meluri Lot Lot 1543
15. Lorong Bali Lot 1923
16. Lorong Pak Alang Taib Lot 624
17. Lorong lembah Lot 626
18. Lorong To' Hamid Lot 627
19. Lorong Sri Aman Lot 627
20. Lorong Haji Maarof Lot 2512
21. Lorong Wak Sharif lot 2513
22. Lorong Taman Mat Raji Lot 635
23. Pangsapuri Puteri Lot 2633Lorong Wak Sudar Lot 2634
24. Lorong Taman Baru
25. Lorong Wak Joko Lot 640
26. Lorong Harry Lot 641
27. Lorong Hj Ramlan Lot 642
28. Lorong Bengkel Manap Lot 643
29. Lorong Wak Sirat Lot 645
30. Lorong Wak Zakaria Lot 645
31. Lorong Hj Bunyamin Lot 646
32. Lorong India Ayub Maju Lot 648
33. Lorong Haji Bakar Lot 625
34. Lorong Wak Suradi Lot 2481
35. Lorong Wak Suraman Lot 2482
36. Lorong Hj Ahmad Toha Lot 1940
37. Lorong Jalan Sekolah Lot 794
38. Lorong India Servis kereta Lot 1939

Sang Kelembai

Mengikut dari cerita-cerita dongeng orang-orang tua, sang kelembai ialah sejenis mahluk yang amat jahat. Barangsiapa cuba menghalang kelakuan, atau menegur perbuatannya, akan menerima padah sumpahannya. Ini membuatkan semua mahluk lain takut kepadanya. Wallahua’lam

Karim Buaya.
Seorang nelayan yang telah meninggal dunia. Terkenal kerana keberaniannya menangkap buaya di Sungai Klang. Pernah menangkap saekor buaya yang amat besar. Oleh kerana besarnya ukuran buaya tersebut, tengkoraknya telah disimpan disebuah Muzium persendirian. Sungai Klang juga memang terkenal dengan habitat buaya tembaga.

Pokok Nipah.

Sejenis pokok palma dan berbuah tandan yang tumbuh melata disepanjang tebing sungai. Daunnya boleh dijadikan sebagai atap rumah. Buah nipah boleh dimakan oleh kita manusia. Isinya menyerupai isi kelapa muda, berbentuk segi dan bertandan menyerupai kelapa sawit. Niranya boleh dijadikan gula. Orang dahulu kala sangat pintar mencari bahan untuk dijadikan sumber bahan makanan. Tidaklah seperti sekarang dimana setiap keperluan makanan mesti dibeli. Pada waktu dahulu, kebanyakan rumah-rumah kampung menggunakan daun ini sebagai atap rumah kerana tidak memerlukan kos. Daun di anyam pada sebilah buloh, dijemur dan kemudian apabila kering, boleh digunakan untuk menjadi atap. Ada juga yang menjadikan daun ini sebagai dinding rumah. Ketahanannya dianggarkan melebihi 10tahun. Daun yang muda pula, jika dikeringkan boleh dijadikan rokok. Orang dahulu menjadikan daun nipah yang dikeringkan sebagai daun rokok. Daun ini boleh dihisap dengan begitu sahaja. Mengikut cerita dari orang tua-tua, daun ini jika dihisap, boleh menambahkan kekuatan tenaga batin. Wallahualam.

Pokok Berembang.
Pokok ini hidup dengan subur disepanjang tebing sungai yang berlumpur. Mempunyai akar yang kuat serta boleh menahan hakisan tebing sungai. Pokok ini rendang dan berbuah, menjadi tempat habitat unggas kelip-kelip atau dikenali sebagai kunang-kunang. Waktu malam, kawasan tebing sungai ini akan kelihatan sangat indah dan cantik dengan cahaya gemerlapan dari unggas tersebut. Buah berembang boleh dimakan oleh manusia. Rasanya agak sedikit masam tetapi apabila dimakan bersama garam ianya memang enak. Buah berembang memang menjadi idaman kepada binatang yang hidupnya diatas pokok seperti monyet, kera dan lain-lain.

Kelip-Kelip atau Kunang-Kunang.

Sejenis unggas yang hidupnya banyak terdapat ditebing-tebing sungai dimana terdapat pokok berembang. Pada waktu malam, unggas ini boleh mengeluarkan cahaya kebiru-biruan. Apabila unggas ini berterbangan, cahayanya berkerlip-kerlipan. Oleh sebab cahaya tersebut berkerlipan, maka unggas itu dipanggil kelip-kelip atau dalam kamus English disebut Firefly.

SEJARAH KAMPUNG PADANG JAWA PETALING (Versi kedua)

Kampong padang jawa petaling merupakan sebuah kampong tradisional yang terletak
diantara dua buah bandar besar iaitu Bandar Kelang dan Bandaraya Shah Alam. Jarak
nya dari Bandar kelang lebih kurang 8km dan dari Shah Alam lebih kurang 5km.

Kampong ini sangat unik kerana terbahagi kepada dua bahagian daerah, satu bahagian
Dibawah pentadbiran Daerah Kelang yang dikenali sebagai PADANG JAWA KELANG,
Dan satu lagi dibawah pentadbiran Daerah Petaling yang dikenali sebagai PADANG JAWA PETALING. Garis sempadan diantara kedua-dua daerah ini terletak ditengah
Kampong ini iaitu dijambatan besar yang berada dikampung ini.

Kampong Padang Jawa ini merupakan kampong yg tertua didaerah Kelang dan Petaling
dimana ianya telah wujud sejak tahun 1880 lagi, bermakna ia telah berumur lebih satu abad lamanya.
Menyingkap kembali kewujudan kampong ini yang diceritakan oleh Tuan Haji Mahmud bin haji Ahmad yang merupakan bekas Imam Masjid Padang Jawa bahawa kampong ini
telah wujud sekitar tahun 1880 lagi.Menurut beliau dua orang adik beradik yang dikenali
dengan nama Tok Mat Tahir dan Tok Pakar telah datang untuk membuka kawasan penempatan,, mereka berdua berasal dari Kuala Langat (Bandar atau Bandau).Pada asalnya kampong ini terbahagi kepada beberapa kawasan iaitu kawasan kg.Berangan
(sekarang dikenali sebagai Jalan Berangan) ,dan kawasan Teluk Benta,(sekarang ia dikenali sebagai Jln Tegas dan Jln Mat Raji) dan Padang Lalang (sekarang dikenali sebagai Sg.Rasa Dalam atau Kg. Rimba Jaya)
Nama Kg. Padang Jawa mula bertapak apabila seorang pendekar yang bernama Allahyarham Wak Kairan yang telah datang membuka kawasan yang sekarang ini
Dikenali sebagai kawasan Rimba Jaya (dahulunya sebuah estet) .Beliau disanjung
Dan terkenal dengan ilmu persilatan.Sewaktu beliau membuka kawasan baru ini,

Wak Kairan menggunakan pengangkutan kereta api untuk berulang-alik setiap hari.
Beliau akan turun disatu kawasan lapang ditepi landasan. Kawasan ini kemudiannya
Dijadikan padang bola ( sekarang ini dijadikan Sekolah Rendah Agama ).

Oleh yang demikian beliau meminta kepada pihak pemerintah pada ketika itu untuk dijadikan
sebuah stesen kereta api. Oleh kerna kawasan itu spt padang yang luas dan ramai yang
berketurunan jawa maka Wak Kairan telah mencadangkan nama stesen dengan nama
Stesen Kampung Padang Jawa. Semenjak itu kampong ini terkenal nama tersebut dan
sedikit demi sedikit maka lenyaplah nama lama Kampong Berangan Teluk Benta dan
Padang Lalang. Nama Jalan Mat Raji dan Jalan Bilal Wondo diambil sempena nama
orang lama yang memberi banyak jasa kepada kampong ini…

Kampung Padang Jawa juga mempunyai beberapa cerita mitosnya tersendiri, antaranya
pada masa dahulu wujudnya Batu Gajah yang terletak ditengah sungai Kelang. Menurut
ceritanya iaitu suatu ketika 3 ekor gajah cuba menyeberangi sungai tersebut. Setibanya
dipertengahan sungai ketiga-tiga gajah tersebut telah ditegur oleh Sang Kelembai ( tidak
diketahui jenis mahluknya )dan dengan tiba-tiba sahaja terus menjadi batu. Semenjak itu
kawasan tersebut dikenali dengan nama Batu Gajah ( Sungai Seksyen 17 Shah Alam )…
Menurut ceritanya lagi, batu gajah hanya boleh dilihat ketika bulan mengambang batu
gajah akan timbul dan ketika air sungai surut. Menurut cerita mitos yang lain pula,
disepanjang sungai disekitar kawasan kampug ada seekor harimau menjaga kampong
ini , dikatakan rupa harimau itu mempunyai taring yang sangat panjang dan mempunyai
tiga ekor sahaja dan tingginya seperti seekor kerbau yang besar.


Sebelum tahun 1960an, Kampung Padang Jawa merupakan kawasan pertanian,kampong
Padang Jawa merupakan sebuah kawasan pertanian,ianya terkenal dengan dusun buah-
buahan dan hasil sungai dan pokok getah.Perkerjaan utama penduduk kampong ini ialah
sebagai pekebun getah ,buruh dan nelayan.Sungai kelang yang ada dikampong ini adalah
merupakan punca sumber rezeki kepada nelayan dengan hasil tangkapan seperti ikan ,udang galah dan sebagainya.jumlah penduduk kampong pada ketika itu hanya sekitar
400 orrang sahaja.Majoriti penduduk kampong ini terdiri dari kaum Jawa,Melayu dan terdapat kaum cina dan India.

Semua ini telah berubah apabila revolusi industeri melanda sekitar kampong ini pada
Tahun sekitar 1960an .Banyak kawasan industri tumbuh dipersekiatrannya seperti Shah Alam,Sg.Rasa dan Padang Jawa, kilang CCM adalah antara kilang yang pertma yang telah wujud dikawasan ini.Kebanyakkan penduduk kampong ini telah bertukar kerjaya Sebagai pekerja kilang.Penduduk kampong mula bertambah dengan pesat apabila dating

Penghijrahan dari negeri-negri lain disemenanjung Malaysia ini.Kampong ini ibarat Pelombong emas berehat selepas penat bekerja. Kampong ini sahaja kawasan penempatan yang ada pada krtika itu.

Pentadbiran Kampong Padang Jawa Petaling bermula pada tahun 1975,manakala JKKK telah wujud pada tahun 1978 dan pengerusi yang pertama ialah Tuan Haji Hamed bin Saharuddin dan beliau telah dilantik menjadi ketua kampong pada tahun 1982 sehinggaTahun 2008.Pada tahun 2008 tempat beliau digantikan oleh Tuan Haji Abdul Aziz binHaji Borhan sebegai ketua kampong yang baru dan juga merangkap sebagai pengerusiJKKK Kampong Padang Jawa Petaling.
Begitulah serba ringkas mengenai sejarah Kampong Padang Jawa Petaling yang dapat  Diceritakan.Semoga ianya dapat memberi manafaat kepada generasi yang akan datang untuk dikenang.

Sekiranya terdapat kesilapan ,harap maaf dan dapat diperbetulkan.

KHAIRUL BIN ZAKARIA

Ulasan.
Begitulah serba ringkas penerangan yang dapat saya berikan dalam merekodkan sejarah kampung Padang Jawa. Ini sebagai ingatan dan panduan kepada generasi seterusnya. Saya sebagai manusia biasa, dan bukannya dari pakar sejarah, maklumat yang saya berikan tidaklah terlalu tepat. Mungkin banyak kekurangan atau kesilapan. Hanya Allah sahaja yang Maha Melihat dan Mengetahui.
Oleh yang demikian, saya selaku Ketua Kampung memohon maaf jika sekiranya terdapat sebarang keraguan atau kesilapan dalam catitan ini. Segala yang Benar datangnya dari Allah. Yang salah dan silap datangnya dari saya. Wallahua’lam